sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Wednesday 1 April 2015

Untuk Apa Buat GST ? - @azwanbro


KERAJAAN telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk para usahawan yang hendak menjejakkan kaki mereka ke dunia perniagaan, khususnya buat orang-orang Melayu melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Kita telah melihat pelbagai inisiatif seperti pinjaman TEKUN, pinjaman ATOM untuk bengkel automotif, TUKAR dana transformasi kedai runcit, melalui Mara kita menyediakan pelbagai kelas, bengkel, kursus malah menyediakan ruangan inkubator buat para usahawan muda.

Akan tetapi banyak kali kita lihat kegagalan usahawan-usahawan ini bukan sahaja untuk memajukan perniagaan mereka malah untuk berniaga cukup-cukup pulang modal sekalipun amat sukar dalam industri tertentu.

Sememangnya kita perlu akui dalam sesetengah kes usahawan itu sendiri mempunyai masalah disiplin namun dalam bidang peruncitan tertentu, apabila usahawan yang telah kita latih masuk ke dalam pasaran, kita mendapati amat sukar untuk mereka bersaing walhal kalau dari segi zahirnya ini tidak sepatutnya berlaku.

Kita ambil contoh dalam bidang bengkel automotif, berapa banyak kes yang kita dengar dan rekod mengenai alat ganti tiruan, alat ganti seludup malah ada alat ganti cetak rompak dalam pasaran. Agak aneh apabila lebih murah untuk kita mendapatkan alat ganti Toyota dari bengkel ketiga berbanding membeli terus daripada Toyota, malah perbezaan harga alat ganti antara kedua-duanya cukup besar.

Secara zahirnya nampak seperti pasaran domestik kita mempunyai persaingan yang sihat namun kalau dilihat secara teliti banyak ketirisan, salah laku dan penguasaan golongan kartel yang memonopoli pasaran secara gelap.

Sebab itu banyak kita lihat usahawan muda yang membuka bengkel gagal untuk bersaing terutama dari segi harga servis dan harga alat ganti, ini kerana pada usahawan dan peniaga yang mengikut undang-undang akan sentiasa ke belakang berbanding pesaing mereka yang mempunyai kelebihan harga dan kos kerana tidak mematuhi peraturan.

Perkara ini berlaku kerana negara kita selama ini mengamalkan sistem cukai peruncitan yang tidak efisien iaitu SST (Sales and Service Tax). Sistem percukaian yang hanya mengenakan cukai pada pengilang dan pengimport menyebabkan amat sukar untuk kerajaan mengawal selia pergerakan barangan. Ini menyebabkan banyak kes penyeludupan dan perniagaan yang mengelak daripada membayar cukai.

Kita memerlukan sistem percukaian yang lebih telus, sistem yang mudah untuk kita mengawal selia pergerakan barangan dan perkhidmatan di semua rantai penawaran. GST ialah cukai yang dikenakan pada semua transaksi perniagaan dan pada masa sama dirangka untuk tidak terlalu membebankan peniaga melalui sistem tuntutan semula.

Apabila kita dapat melihat jumlah cukai yang dikenakan pada setiap rangkaian penawaran maka kerajaan dapat melihat dengan telus jumlah sebenarnya barangan yang dikilang, diimport, yang dijual, keuntungan dan pendapatan sebenar sesebuah perniagaan itu.

Apabila kita melaksanakan sistem percukaian yang lebih telus maka amat sukar untuk pasaran dikuasai oleh golongan kartel yang menguasai pasaran dengan menawarkan harga yang tidak kompetitif melalui penyeludupan, menyimpan bekalan dan mengelakkan diri dari mengisytiharkan cukai. Sebab itu lebih dari 160 buah negara dalam dunia mengamalkan sistem cukai GST.

Namun sudah pasti ada suara-suara yang mengatakan bahawa akhirnya walau apa sekalipun alasan yang diberikan harga bara­ngan tetap akan naik. Sepatutnya mengikut hukum logik ada barang yang akan turun harganya dan ada juga yang akan naik, ini perlu kita akui, namun peniaga yang paling bising mengenai GST ini kebiasaannya adalah mereka yang selama ini mengelak dari membayar cukai.

Ini kerana bukan sahaja perlu mereka mengisytiharkan cukai barangan yang mereka tidak bayar selama ini, malah melalui sistem GST adalah lebih mudah untuk Lembaga Hasil Dalam Negeri mengetahui pendapatan sebenar mereka.

Untuk jangka masa pendek memang saya akui akan mempunyai sedikit perasaan tidak selesa terutama apabila rata-rata peniaga mengatakan bahawa mereka dipaksa menaikkan harga. Namun apabila pembetulan pasaran bermula, peniaga terpaksa bersaing dan menerima hakikat pelaksanaan sistem cukai ini maka pasaran akan kembali stabil.

Samalah seperti ubat kita akan merasakan sedikit pahit pada permulaan namun kita harus laksanakan ini demi kebaikan pasaran kita untuk jangka masa panjang. Sesungguhnya kerajaan hari ini mengambil risiko politik untuk melaksanakan dasar yang sukar demi kebaikan masa depan dan saya secara peribadi menyokong tindakan berani ini.

PENULIS ialah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Oleh KHAIRUL AZWAN HARUN

2 comments:

HassanNik said...

Bukan SST Yang Tidak Efisyen Tetapi JKDM Terlalu Gah Dengan Hal Ehwal Pencegahan Penyeludupan Rokok, Minuman Keras Dan Dadah. Manakala SOP Dalam Melaksana Dan Menguatkuasakan SST Terlalu Stereotype Dan Tidak Banyak Berubah. Undang-Undang Peraturan Yang Ada Dengan SST Cantik Tetapi Pelaksanaan Dan Penguatkuasaan Kurang Berkesan Dan Tiada Anjakan. Sepatutnya Kerajaan BN Tidah Terlalu Teruja Dengan GST Dan Mengurangkan Peratusan Kadar Cukai Pendapatan Sebab Selama Ini Pun Mereka-Mereka Yang Membayar Cukai Pendapatan Adalah Mereka-Mereka Yang Berada Pada Level Berkelayakan Tidak Sebagaimana Mereka-Mereka Yang Majoritinya Pada Level Yang Tidak Selesa Dengan Situasi Terpaksa Menyeluk Saku Dan Mengadakan Peruntukan Yang Lebih Untuk Membayar GST.

Anonymous said...

GST kononnya untuk tangkap peniaga culas..

tapi kenapa rakyat yang jadi mangsanya?

nampak sangat kerajaan dan agensi2nya tidak efisien.

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive