sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Tuesday 13 January 2015

Rencana : Kenapa DAP Bantah Hudud - DR MASHITAH



MENURUT Lim Kit Siang, DAP mengambil keputusan tidak menyertai pakatan pembangkang bersama Pas ketika hadapi Pilihan Raya Umum 1986 dan 1990 kerana membantah hasrat melaksanakan hukum hudud dan menubuhkan Negara Islam.

Malah, dalam PRU 1990, DAP meletakkan calonnya untuk bertanding di kerusi Dun Padang Garong dalam kawasan Parlimen Kota Bharu. Namun, calon itu, Lim Kok Kee, tewas.

Walaupun pemimpin Parti Semangat 46 kemudian berjaya menggabungkan DAP dan Pas dalam Barisan Alternatif, pakatan ini akhirnya berpecah pada 2001 kerana kepimpinan Pas menolak satu persefahaman yang dipanggil Pendirian Lima Perkara.

Inti pati Pendirian Lima Perkara adalah (1) Pas kena setuju tidak akan berlaku perubahan radikal terhadap Perlembagaan Persekutuan seperti penubuhan Negara Islam, Kristian, Buddhis atau Hindu (2) Selagi berada dalam pakatan pembangkang, Pas mesti bekerjasama dengan parti sekutu untuk mengangkat demokrasi, bukan Negara Islam (3) Sebelum membuat sebarang keputusan atau pindaan kepada undang-undang negeri, Pas mesti rujuk dan mendapat persetujuan parti sekutu (4) Pas kena bersetuju dengan penubuhan sebuah jawatankuasa tertinggi yang mesti dirujuk jika ingin buat kenyataan atau tindakan sensitif berkaitan agama, dan (5) Pas mesti terima hakikat Malaysia sebuah negara plural dan Negara Islam tidak sesuai serta tidak boleh ditubuhkan.

Walaupun Pas berpakat semula dengan DAP dan berserta PKR menghadapi tiga PRU selepas itu, DAP tetap membantah hukum hudud dan hasrat Pas menubuhkan Negara Islam.

Ramai penyokong Pas tidak setuju, malah marah dengan tahaluf siyasi yang dijalin parti itu dengan DAP. Pemimpin Pas cuba menenangkan penyokong dengan berkata mereka akan mendidik pemimpin DAP mengenai Islam. Selama 15 tahun, Pas bukan sahaja gagal berbuat demikian, malah pendirian DAP terhadap hukum hudud semakin keras.

Kit Siang, anaknya dan pemimpin DAP terus-menerus mengkritik pemimpin Pas hingga ke hari ini, termasuk cadangan mengadakan sesi khas persediaan membawa rang undang-undang hudud ke Parlimen pada 29 Disember lalu yang terpaksa ditunda kerana bencana banjir.

“Pas leaders know very clearly DAP’s stand on hukum hudud. DAP will stand firm in Parliament to defeat any Pas attempt to amend the Federal Constitution for this purpose,” tegas Kit Siang, yang juga mendapat sokongan pemimpin PKR dan beberapa pemimpin Pas sendiri.

Beliau berhujah bahawa di negara yang melaksanakan hudud seperti Pakistan, wanita dan mangsa rogol tidak mendapat perlindungan kerana perogol jarang dikenakan hukuman.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Amar Nik Abdullah berkata Pas tetap akan melaksanakan hukum hudud di Kelantan tahun ini, walaupun tidak keseluruhannya atau berperingkat, selain terpaksa membuat beberapa pindaan ekoran kritikan banyak pihak. Beliau juga menepis bantahan dan ugutan DAP akan keluar Pakatan Rakyat jika Pas teruskan hajatnya itu. “DAP hanya lihat dari aspek politik. Mereka bimbang hilang sokongan pengundi bukan Melayu. Tapi mereka perlu fikir sensitiviti orang Islam.

Kita hendak tunggu bila lagi bagi melaksanakan hudud sebab ia adalah tuntutan agama. Pas sudah terajui kerajaan di Kelantan lebih 23 tahun. Soal jenayah kurang atau tidak itu masalah nombor dua. Pas sudah banyak berkompromi dengan DAP dan PKR.

Kita sanggup ubah pendekatan kepada Negara Berkebajikan pada PRU lepas, kesannya Pas Kelantan merosot sehingga hilang tiga kerusi Dewan Undangan Negeri,” ujarnya.

Pemimpin Pas termasuk Mohamed Amar mengambil masa begitu lama untuk sedar hakikat. Baru sekarang mereka memahami strategi politik parti rasis-cauvinis ini.

Kesannya, Pas menjadi parti paling lemah dalam Pakatan Rakyat ekoran kekalahan banyak kerusi dalam PRU 2013 dan hilang sokongan pengundi akar umbi terutama di luar bandar.

DAP berusaha menjadi parti lebih kuat untuk mencapai matlamat serampang dua mata, yakni mencabar kekuatan Umno-Barisan Nasional di Parlimen selain menyekat hasrat Pas menubuhkan Negara Islam dan melaksanakan hukum hudud. Hari ini, DAP berada pada kedudukan paling kuat dalam sejak penubuhannya 50 tahun lalu, dan Umno-BN telah hilang penguasaan dua pertiga majoriti di Parlimen.

Justeru dalam isu hukum hudud, DAP tidak mahu melihat sokong-menyokong antara Pas dan Umno di Parlimen, dan menganggap komitmen Umno Kelantan untuk menyokong hasrat kerajaan negeri pimpinan Pas sebagai tidak sihat.

Menurut Kit Siang, apabila Pas dan Umno saling berjuang menegakkan agama Islam, ini tidak baik untuk demokrasi dan hak asasi rakyat, boleh menjejas kemajuan ekonomi dan persaingan antarabangsa serta membantut usaha mengekalkan Malaysia sebuah negara sekular.

Rencana dari Sinar Online 

* Datuk Dr Mashitah Ibrahim ialah Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM)

No comments:

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive