sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Friday 2 January 2015

2014 : Mimpi Ngeri Anwar Ibrahim Berulang Kembali



KUALA LUMPUR 31 Dis - Tahun 2014 membawa episod duka buat Pakatan Rakyat terutamanya buat pengasasnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akibat konflik yang kian nazak yang mencabar ketelusan kerjasama DAP, PAS dan PKR.

Biarpun berbagai slogan digunakan oleh gabungan tiga parti pembangkang ini untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka lah yang bakal menggantikan Barisan Nasional (BN), namun pergolakan yang berlaku sama ada krisis dalaman atau krisis antara parti, ia sedikit sebanyak memudarkan harapan rakyat.

Keyakinan masyarakat terhadap Pakatan Rakyat mula pudar sebaik bermulanya kemelut politik di Selangor yang menyaksikan jawatan menteri besar menjadi rebutan.

Biarpun pemimpin Pakatan Rakyat cuba menafikan bahawa perebutan jawatan menteri besar Selangor ini mencalarkan imej mereka, namun realiti yang berlaku, masyarakat mereka lebih mementingkan kuasa berbanding kepentingan rakyat.

Keretakan hubungan ini semakin kronik setelah PAS tekad untuk melaksanakan hukum Hudud di Kelantan yang mengundang kemarahan agresif dari rakan sekutunya, DAP.

Rentetan krisis Pakatan Rakyat ini turut memberi kesan terhadap peluang Anwar untuk mendapat sokongan terhadap Rayuan Kes Liwat II dari pihak pimpinan rakan parti terutamanya pimpinan PAS.


KONFLIK MENTERI BESAR SELANGOR

Krisis perebutan kerusi Menteri Besar Selangor tercetus dengan 'Langkah Kajang' yang dimulakan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada bulan Mac, bertujuan menjadikan Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Kajang kehilangan wakil rakyat yang memenangi kerusi Dun tersebut dalam PRU13 apabila, Lee Chin Cheh meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding pada PRK kawasan itu.

Bagaimanapun, hasrat Anwar terbantut setelah gagal menjadi calon kerusi DUN Kajang selepas mahkamah mendapati beliau bersalah atas tuduhan liwat, lalu isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipertaruhkan untuk kerusi itu.

Wan Azizah memenangi PRK Dun Kajang mengalahkan calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun dengan majoriti 5,379 undi. Wan Azizah memperolehi 16,741 undi manakala Mei Fun mendapat 11,362 undi.

Namun biarpun memenangi PRK Dun Kajang, Wan Azizah tetap tidak dapat menduduki kerusi menteri besar Selangor kerana Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap meneruskan tugasnya seperti biasa dan enggan melepaskan jawatan. Lebih malang lagi apabila nama Wan Azizah tidak diperkenan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menggantikan Abdul Khalid.

Wan Azizah sebelum itu mengumumkan telah mendapat sokongan 30 ADUN Pakatan Rakyat untuk membolehkan beliau menggantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Sejak timbulnya cerita PKR mahu menyingkirkan Abdul Khalid sebagai menteri besar, PAS dilihat sebagai penghalang utama kepada usaha yang dikepalai oleh Anwar.

PAS dikatakan mahu mengekalkan Abdul Khalid kerana mahu menjaga kepentingan individu-individu tertentu yang dekat dengan pemimpin utama parti itu dan ada usaha supaya dapat diwujudkan kerajaan perpaduan bersama UMNO.

Menurut PAS, selepas PKR memecat Abdul Khalid, tidak timbul lagi isu parti Islam menyokong Adun Pelabuhan Klang itu kerana beliau bukan lagi sebahagian daripada Pakatan Rakyat. Tetapi PAS tetap mengarahkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) menjalankan tugas seperti biasa.

Arahan itu dikeluarkan kerana tidak mahu urusan pentadbiran yang diamanahkan oleh rakyat tergendala hanya kerana usaha menukarkan menteri besar masih tidak dapat diselesaikan.

Setelah PKR memecat Abdul Khalid, PAS juga mengambil pendirian perlu ada calon lain untuk menggambil alih jawatan menteri besar, dan tentunya calon itu perlu dari PKR yang telah dipersetujui bersama mengetuai kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Seperti kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, partinya tidak berniat untuk menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan krisis menteri besar Selangor sebagai batu loncatan merebut jawatan berkenaan. Mustafa berkata, jawatan itu sudah diamanah kepada PKR dan dipersetujui Pakatan Rakyat sejak dari mula Selangor diambil alih daripada BN.

Selepas Abdul Khalid dipecat, bukan isu PAS mahu beliau kekal tetapi parti Islam itu mahu PKR mencadangkan calon lain selain Dr Wan Azizah. PAS telah memaklumkan kepada PKR mengapa parti itu menolak Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu.

Sikap PAS ini menyebabkan rakan mereka dalam Pakatan Rakyat, DAP mula mengeluarkan berbagai kenyataan yang mempertikaikan tindakan parti Islam itu. Bagi DAP, PAS merupakan pengkhianat kerana mengarahkan exco mereka meneruskan tugas seperti biasa.

DAP berpendapat, Abdul Khalid tidak dapat disingkirkan kerana sikap PAS yang dilihat seolah-olah terus memberikan sokongan kepada Adun Pelabuhan Klang itu. Malah timbul cerita kononnya PAS mahu bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk sebuah kerajaan campuran yang diketuai Abdul Khalid.

Biarpun PAS, menafikan khabar angin ini, tetapi sedikit sebanyak ia telah membuatkan DAP mencurigai PAS dan hubungan kedua parti itu renggang.

Episod Pakatan Rakyat mahu menukarkan Abdul Khalid ini sebenarnya bermula selepas PRU13, apabila parti yang dianggotai Abdul Khalid, PKR, memberi bermacam alasan untuk 'menghalalkan' usaha mereka.

PKR mengeluarkan laporan kepada pemimpin Pakatan Rakyat menyatakan alasan mengapa mereka mahu menyingkirkan Abdul Khalid.

Antara alasan yang diberikan oleh PKR dalam satu laporan setebal 24 halaman kepada pemimpin Pakatan Rakyat terutama pimpinan PAS yang bertegas mahu Abdul Khalid kekal ialah kes penyelesaian hutang yang disifatkan 'luar biasa' antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu dengan Bank Islam.

Dalam laporan itu, PKR menyatakan begini: "Masalah keberhutangan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Bank Islam sudah diketahui umum sejak beliau belum menjadi ahli politik dan Menteri Besar."

Laporan itu juga turut memuatkan kenyataan ini: "Keberhutangan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Bank Islam bermula dalam tahun 90-an semasa beliau menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Guthrie Berhad."

Selepas beberapa bulan krisis menteri besar Selangor ini berlaku, akhirnya ia menemui titik akhir apabila nama timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali diumumkan mendapat perkenan Istana Selangor bagi menggantikan Abdul Khalid. Rakyat Selangor akhirnya mampu tersenyum dan menarik nafas lega.


PEMILIHAN PKR DAN KONGRES NASIONAL KE-10

PKR mengadakan Kongres Nasional yang ke-10 pada Mei, dalam keadaan parti itu dan Pakatan Rakyat diuji dengan krisis politik di Selangor dan juga perihal pemilihan parti yang selesai dengan berbagai macam cerita.

Banyak mata memberi tumpuan terhadap Kongres Nasional PKR kali ini kerana isu Menteri Besar Selangor dan kisah-kisah ketika proses pemilihan pucuk pimpinan parti itu yang berlangsung sejak Mac lepas. Pemilihan PKR kali ini penuh warna-warni, ada kerusi melayang, ada peti undi dibawa lari, ada campurtangan gangster kononnya, ada ahli yang digantung dan dipecat.

Sesetengah pihak berpendapat, bukan PKR namanya jika pemilihan parti dan kongres mereka tidak kecoh, pasti akan ada 'drama' yang berlaku. PKR sebuah parti yang penuh kontroversi. Dari awal penubuhannya hingga hari ini, PKR tidak pernah lepas dari kontroversi demi kontroversi.

Jika tidak kerana isu Menteri Besar Selangor, tentunya kisah pemilihan parti akan menjadi perhatian utama perwakilan dalam Kongres PKR kali ini. Namun cerita peti undi dibawa lari atau kerusi melayang itu tenggelam oleh isu menteri besar Selangor yang masih belum selesai waktu itu.

Namun, seperti kata Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, krisis menjadikan parti lebih kuat selain dapat menilai tahap semangat sesama ahli ketika menempuh saat-saat getir bersama.

Kata Mohamed Azmin, krisis yang berlaku memberi pengajaran dan pembelajaran dalam pengurusan krisis dalaman Pakatan Rakyat sendiri.

"Kita perlu ada sikap tawadhu’ untuk terima pandangan dan teguran rakan. Tidak ada masalah untuk berbeza pendapat namun kita wajib menyokong keputusan yang dibuat oleh jemaah PR," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Pemilihan PKR kali ini menyaksikan Azmin kekal di kerusi nombor dua parti itu manakala Rafiz dan bekas Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin mengisi jawatan Naib Presiden bersama dua lagi penyandang jawatan sama, Nurul Izzah dan Tian Chua.

Sementara AMK mendapat ketua yang baru, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengalahkan Amiruddin Saari dengan majoriti tipis manakala Zuraidah Kamaruddin kekal sebagai Ketua Wanita PKR.

Akhirnya keputusan pemilihan PKR diterima oleh semua ahlinya, dan parti itu meneruskan misi mereka seperti sediakala.


MUKTAMAR PAS KE-60

Muktamar PAS ke-60 yang diadakan di Batu Pahat pada September lalu boleh dianggap yang paling panas selepas parti Islam itu mengisytiharkan untuk bergabung dengan DAP dan PKR.

Buat pertama kali, Muktamar PAS diadakan di Johor, sebuah negeri yang dianggap kubu kuat musuh tradisi parti Islam itu, UMNO. Muktamar PAS kali ini kerana ia berlangsung ketika kemelut politik di Selangor belum ada kesudahan, ketika teka-teki apakah parti Islam itu akan menerima jawatan menteri besar atau tidak belum terjawab.

Sebelum muktamar PAS itu bermula, ramai yang menjangkakan ia akan 'panas' dengan isu jawatan Menteri Besar Selangor dan juga isu perbezaan pandangan beberapa pemimpin PAS dengan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama (MSU).

Terbukti, muktamar yang diadakan dalam khemah di sebidang tanah milik ahli PAS itu amat berbeza dengan mukmatar-muktamar sebelum ini. Belum pernah dalam sejarah PAS, sejak awal penubuhan hingga lah ke muktamar di Batu Pahat, perwakilan membacakan doa laknat kepada pemimpin mereka sendiri.

Paling teruk menjadi mangsa serangan perwakilan ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (Mat Sabu) kerana beliau merupakan pemimpin yang dilihat sering membuat kenyataan berbeza dengan pendirian Abdul Hadi dan MSU.

Ternyata, perwakilan yang terdiri dari kumpulan pro-ulama menggunakan pentas muktamar untuk 'melepaskan geram' terhadap Mat Sabu dan beberapa pemimpin lain yang dikatakan kumpulan profesional.

Biarpun pemimpin PAS mengatakan apa yang berlaku di muktamar kali ini merupakan perkara biasa tetapi mereka tidak boleh menolak kenyataan bahawa apa yang berlaku ini merupakan yang paling teruk.

Sepatutnya, pentas muktamar digunakan sepenuhnya untuk membincangkan tentang isu kenaikan kos hidup, isu peluang pekerjaan yang semakin banyak diambil oleh warga asing dan bermacam lagi isu rakyat.

Perwakilan PAS sepatutnya membahaskan perkara-perkara sebagai membuktikan bahawa mereka parti yang berjuang untuk kepentingan rakyat dan mereka adalah parti yang boleh disandarkan harapan untuk menjadi pemerintah pada masa depan.

Mana mungkin rakyat akan memberi kepercayaan kepada sebuah parti yang mana ahli-ahlinya secara terang-terangan menyerang pemimpin mereka sendiri. Rakyat, yang bukan ahli PAS, tentunya akan membuat penilaian, apakah ini parti yang boleh mereka harapkan.

Benar, tidak ada salahnya untuk berbeza pendapat dan mengkritik tetapi kalau sudah terlalu ketara ia boleh memberi kesan negatif. Jangan disalahkan media, kerana perwakilan memberikan berita-berita hangat untuk dilaporkan.

Semuanya terpulang kepada ahli dan pemimpin PAS untuk membawa halatuju parti itu. Apakah mereka mahu PAS mengorak langkah ke hadapan atau menjadi parti yang hanya dapat memerintah di Kelantan dan Terengganu sahaja.


HUDUD : PERANG PAS VS DAP

Selain krisis menteri besar Selangor, hubungan PAS dan DAP renggang kerana isu pelaksanaan hukum hudud yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 di Kelantan.

Nampaknya kedua-dua parti pembangkang itu sukar mencari titik pertemuan dari segi prinsip, dasar dan perjuangan, namun suka atau tidak mereka terpaksa berkongsi matlamat iaitu ingin menguasai Putrajaya. DAP lantang menyatakan mereka menentang pelaksanaan hukum Islam itu, malah menegaskan jika usul itu diteruskan dan BN menyokong usaha itu, ia adalah penamat kepada hubungan DAP dengan PAS.

PAS pula, yang selama ini sering dikatakan menjadi 'balaci' DAP dan sanggup membelakangkan prinsip parti untuk mencapai matlamat politik, dilihat agak tegas dalam isu hudud. Ketegasan ini juga ada kena mengena dengan perjuangan kumpulan pro-ulama atau Geng Ustaz (GU) dalam PAS.

Kumpulan GU tidak mahu dasar PAS berubah hanya semata-mata kerana mahu menawan kerajaan pusat manakala kumpulan professional pula menegaskan mereka tidak melupakan dasar parti. Malah dalam hal hudud, kumpulan profesional dalam PAS juga mempertahankan usaha parti itu mahu melaksanakannya di Kelantan.

Hudud bukan isu baru. Malah pada tahun 2001, DAP pernah mengisytiharkan mereka keluar dari gabungan pembangkang yang dinamakan Barisan Alternatif kerana masalah yang sama. DAP tetap bertegas menolak hudud dan negara Islam yang diperjuangkan PAS.

Hubungan DAP dan PAS renggang bukan sahaja kerana isu hudud tetapi beberapa perkara lain termasuk mereka mendakwa PAS terutamanya presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak teguh dalam perjuangan Pakatan Rakyat. Berbagai kenyataan dikeluarkan oleh DAP mempertikaikan tindakan Abdul Hadi yang dikatakan sering tidak hadir ke mesyuarat.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan membangkitkan persoalan, apakah Pakatan Rakyat mampu bertahan sehingga PRU14. Persoalan ini dibangkitkan ada hubungkaitnya dengan pergeseran antara PAS dan DAP terutama berkaitan isu hudud.



PILIHAN RAYA KECIL TELUK INTAN

2014, menyaksikan Pakatan Rakyat kehilangan satu kerusi parlimen apabila DAP tewas dalam PRK Teluk Intan yang diadakan pada hujung April.

PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas. Pada PRU13, Seah Leong Peng memperoleh 27,399 undi menewaskan calon BN, Datuk Mah Siew Keong (20,086 undi) dan calon bebas Moralingam Kannan (279 undi) dengan majoriti 7,313 undi.

Calon BN dari Gerakan, Datuk Mah Siew Keong diumumkan sebagai pemenang PRK Teluk Intan menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi. Presiden Gerakan itu memperolehi 20,157 undi manakala Dyana Sofya mendapat 19,919 undi.

PRK Teluk Intan mencatat rekod jumlah yang keluar mengundi kedua terendah pada PRK yang telah berlangsung sejak PRU-13.Seramai 40,236 pengundi keluar mengundi hari ini iaitu sebanyak 66.67 peratus.Pada PRU-13, seramai 48,839 pengundi atau 80.7% keluar membuang undi di Teluk Intan.

Keputusan DAP memilih Dyana Sofya, calon Melayu, mengejutkan banyak pihak kerana Teluk Intan merupakan kawsan majoriti pengundi Cina. Namun DAP mempunyai alasan tersendiri kenapa mereka memilih Dyana Sofya, calon muda dikalangan orang Melayu.

Teluk Intan merupakan kawasan majoriti pengundi Cina tetapi mempunyai saiz pengundi Melayu yang besar. Kawasan parlimen itu terdiri daripada 42 peratus pengundi Cina, 38 peratus Melayu dan 19 peratus India.

Di kawasan majoriti pengundinya adalah kaum Cina, DAP mengenepikan bekas ketua penerangan pilihan rayanya, Hew Kuan Yau dan memilih seorang gadis Melayu yang sangat muda, Dyana Sofya.

Dyana Sofya juga diakui ramai, termasuk di kalangan ahli-ahli UMNO, sebagai seorang gadis Melayu yang comel. Tetapi bukan faktor bijak dan comel semata-mata yang menjadi perkiraan DAP, sebaliknya parti yang selalu dilabelkan sebagai "anti Melayu" dan kononnya "membawa fahaman Komunis" itu menyedari bahawa mereka perlu memenangi undi orang Melayu.

(Nota: DAP sebuah parti yang membuka keahliannya kepada semua kaum, berfahaman demokrat sosialis, percaya kepada kesamarataan antara semua kaum dan memperjuangkan sebuah Malaysia untuk semua rakyat Malaysia.)

DAP menyedari bahawa kaum Melayu adalah majoriti di negara ini dan mahu tidak mahu, mereka perlu mendekati pengundi Melayu, perlu memenangi hati pengundi Melayu. Usaha ini bukan hanya untuk Teluk Intan, tidak, DAP tidak hanya fikir Teluk Intan, tetapi mereka memikirkan dan merangka strategi untuk PRU14.

Selain faktor Melayu, DAP juga menyedari menjelang PRU14, golongan muda merupakan majoriti di negara ini. Ada dua kelompok majoriti yang perlu ia hadapi: Melayu dan orang muda. Dyana Sofya berusia 27 tahun, selain diakui comel, dia juga masih muda. Bagi generasi muda, selain PKR, kini DAP dilihat sebagai parti yang memberi ruang dan peluang kepada golongan muda untuk bertanding dalam pilihan raya.

Parti politik yang membuka seluas-luasnya ruang dan peluang kepada orang muda akan mudah lebih dekat dengan golongan muda. Parti ini juga akan dilihat 'cool' kerana yang sudah veteran tidak hanya melihat bahawa hanya yang sudah berusia layak untuk bergelar wakil rakyat tetapi anak muda juga berpeluang menjadi Yang Berhormat yang akan berkhidmat.

Jadi, 'Projek Dyana Sofya' bukan semata-mata untuk Teluk Intan tetapi ia adalah usaha DAP mendekati golongan muda. Parti yang sering dilabel dengan bermacam-macam yang negatif ini mahu dilihat 'cool' dan memberi peluang kepada golongan muda. Bakat anak muda yang ada perlu digunakan sebaik mungkin bukan dicantas sehingga hilang dari radar politik negara.


2015 : CABARAN BESAR PARTI-PARTI POLITIK

2014 merupakan tahun yang penuh duka untuk Pakatan Rakyat. Hilang kerusi parlimen Teluk Intan, gagal menawan kerusi Dun Pengkalan Kubor dan Balingian.

Tetapi ia bukanlah penamat. 2015 menjanjikan banyak ruang untuk Pakatan Rakyat memperbaiki segala kesilapan di tahun 2014. Segala-galanya bergantung kepada usaha pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat sama ada mereka serius mahu gabungan itu kekal atau hanya tinggal kenangan.

Tahun baru pastinya cabaran lebih besar dihadapi oleh semua parti politik. Dengan segala macam masalah, tidak mustahil 2015, anak muda semakin jemu dengan parti=parti politik yang sedia ada.

Tidak ada cara lain untuk mematangkan politik negara melainkan ahli politik tidak terlalu sibuk mempolitikkan semua perkara sebaliknya memberi perhatian untuk membangunkan negara.

Rakyat News 

No comments:

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive