sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Friday 25 October 2013

BAJET 2014 : TEKS UCAPAN BAJET 2014 !! TERBAIK KERAJAAN BN !!! @NajibRazak @tunfaisal



Berikut adalah ucapan Bajet Tahun 2014 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini:

“MEMPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI, MEMPERKASA TRANSFORMASI DAN MELAKSANA JANJI”

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2014 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.


PENDAHULUAN

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mulakan lafaz ucapan Bajet 2014 dengan mengungkap kalimah suci Bismillahirrahmanirrahim. Dipetik dengan penuh iktibar sepotong firman Allah Subhanahu Wa Taala dari Surah Al-Qasas, ayat ke-77, mafhumnya:

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu daripada keperluan di dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu yakni di atas pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah”.

Para pujangga pula sering bermadah-madah, bahawa:

“Berpadu ialah satu permulaan, terus bersatu merupakan kemajuan, manakala bekerja secara ganding-berganding, bahu-membahu, itulah dia resepi kejayaan”.


Tuan Yang di-Pertua,

1. Seawal dan seafdalnya, marilah kita merafakkan rasa syukur yang setulusnya ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala, kerana dengan izin dan kurnia-Nya jua, saya dan para Ahli Yang Berhormat sekalian, dapat berhimpun dalam Dewan Rakyat yang mulia ini, sebuah institusi simbol, serta menjadi satu perlambangan demokrasi yang segar, di bumi Malaysia yang berdaulat lagi merdeka.

2. Pertama-tamanya, saya, bagi pihak Kerajaan, merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih serta penghargaan kepada rakyat Malaysia, yang menyokong dan mendokong serta mewibawakan mandat ke atas Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum Ke-13 lalu untuk terus menerajui kepimpinan negara.

Tuan Yang di-Pertua,

3. Ini membuktikan, biarpun kita berdepan dengan pelbagai rintangan, walaupun dilontar dengan segala bentuk tohmahan, sekalipun diasak dengan bermacam dugaan, namun Alhamdulillah, dengan kehendak Maha Berkuasa jua, kepimpinan Transformatif Barisan Nasional, terus kental, terus bertahan, terus teguh, sebagai parti pilihan rakyat bagi tempoh 5 tahun akan datang.

4. Sememangnya pun, kita telah melalui satu Pilihanraya Umum yang begitu mencabar dan penuh tantangan. Sekali apa jua, kita boleh berbangga kerana, semuanya itu, dilalui dengan teratur menurut batas dan lunas demokrasi, sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan sehingga diberi gelar oleh kawan dan lawan sebagai ibu segala pilihanraya.

Tuan Yang di-Pertua,

5. Kerajaan amat sedar dan insaf di kala dunia berdepan dengan risiko ketidaktentuan iklim politik dan ekonomi global, jika kita tidak berwaspada dan berjaga-jaga tempiasnya boleh terpercik kepada kita. Maka, kita amat bersyukur kerana negara ini tidak terjebak atau terseret dalam kancah konflik dalaman yang boleh meranapkan negara bangsa.

6. Kita juga menghitung nikmat-Nya yang tidak terhingga-hingga kerana negara ini terus dipancuri rahmat pabila tiada dilanda malapetaka mahupun bencana alam melampau sepertimana yang berlaku di negara-negara lain. Moga-moga kita senantiasa diperlindung olehNya jua.

Tuan Yang di-Pertua,

7. Jika disusuri, semenjak tahun 1965 sehingga tahun 2011, sebanyak 10 Rancangan Malaysia dan tiga Rangka Rancangan Jangka Panjang telah dilaksanakan.

8. Dasar Pembangunan Nasional pula, melewati tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga tahun 2000. Kemudiannya, Dasar Wawasan Nasional merentasi tahun 2001 sehingga 2010. Dalam pada itu, saya juga telah melancarkan Dasar Transformasi Nasional atau DTN, semasa membentangkan Bajet tahun 2010, sebagai paksi pengukuhan dan pemangkin untuk mencapai Wawasan 2020 kelak.

9. Di sini, ingin saya tegaskan sejelas-jelasnya, semuanya ini tidak akan terjelma, atau berlaku secara hentam keromo sahaja tanpa perancangan rapi dan strategi yang tuntas oleh Kerajaan yang ada. Bahkan, sejak puluhan tahun Kerajaan Barisan Nasional berusaha gigih, memeta, merencana dan membina negara daripada sebuah negara pertanian, menjadi negara perindustrian moden dan kemudian berkembang sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi. Kini, menuju pula gerbang sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Tuan Yang di-Pertua,

10. Pada 14 September 2013 yang lalu, di Dewan Agong Tuanku Canselor, Kampus Induk Universiti Teknologi MARA, saya telah membentangkan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Dalam ucapan tersebut, saya telah menzahirkan maklumat tentang demografi populasi negara berkhusus tentang Melayu dan Bumiputera.

Tuan Yang Di-Pertua serta Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

11. Pada hari ini pula, di peringkat nasional, kita lihat, demografi populasi yang bermula dari Arau Perlis, hingga ke Kudat dan Tawau di Sabah, membawa ke Bintulu hingga Batang Ai di Sarawak, menunjukkan bahawa, secara asasnya, orang-orang Melayu terdiri daripada 41 suku dengan 9 induk utama, Orang Cina 10 suku, kaum India 8 suku, Orang Asli 18 kategori, Bumiputera di Sabah jumlahnya lebih 60 etnik, manakala di Sarawak pula terdapat lebih 40 suku.

12. Hakikatnya, kita semua, sama ada orang Melayu, orang Cina, orang India, Kadazan, Murut, Dusun, Iban, Bidayuh, orang Ulu, orang Asli, orang Sikh, Serani, orang Siam, peranakan baba nyonya dan juga kaum Chetty serta lain-lainnya, kesemuanya orang Malaysia. Pendek kata, setiap kaum atau suku tidak kira peratusannya adalah mustahak dan penting dalam perjalanan negara menuju kejayaan.

Tuan Yang di-Pertua,

13. Menurut bancian Penduduk dan Perumahan 2010, anggaran penduduk tahun 2013 menunjukkan jumlah warganegara Malaysia terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera, sama ada Islam mahupun bukan Islam adalah 18.6 juta atau 67.9%, kaum Cina 6.6 juta atau 24 peratus, kaum India 2 juta atau 7.2 peratus, manakala lain-lain kaum 259 ribu yang mewakili 0.9 peratus. Ini bererti perangkaan semasa jumlah warganegara Malaysia lebih 27.4 juta orang.

14. Kendatipun begitu, ini tidaklah termasuk 40,000 orang Bangladesh yang didakwa oleh pembangkang, dibawa masuk sebagai pengundi dalam pilihanraya umum ke-13 baru baru ini. Walhal, hinggalah hari ini, tiada siapapun yang pernah melihat kelibat, apatah lagi bayang mereka itu. Cukup-cukuplah pembohongan, beristighfarlah banyak-banyak, Astaghfirullah-Hal Azim.

Tuan Yang di-Pertua,

15. Sesungguhnya, secara sedar ataupun tidak, segala gagasan mahupun prakarsa negara ini, sejak lebih lima dekad merdeka, telah dimeterai dan dipateri oleh bapa-bapa kepimpinan terdahulu hingga kini, dengan penuh bijaksana dan berhikmah, dipasak kepada realiti, data berangka, serta komposisi kemajmukan rakyat. Makanya, bersandarkan premis yang kukuh tersebut, naskhah penting ini kita bingkiskan.

TERAS BAJET 2014

16. Sepertimana saban tahun, waktu pembentangan dokumen besar nasional ini, dipilih dan jatuhnya pada petang hari Jumaat yang mulia lagi penuh sa’adah. Sesungguhnya, bajet ini adalah yang sulung dan yang julung, dipersembahkan kepada rakyat oleh Kerajaan Barisan Nasional sesudah sekali lagi diberikan amanah dan kepercayaan. Inilah juga, bajet kali ke-lima yang direncana dan diangkat oleh saya selaku Menteri Kewangan bagi pihak Kerajaan sejak 2009.

Tuan Yang di-Pertua,

17. Bajet 2014 digubal untuk mempastikan pertumbuhan ekonomi terus berkembang kukuh dan mengurangkan defisit fiskal negara, dengan matlamat keseluruhannya Memakmur Negara dan Mensejahtera Rakyat. Memenuhi maksud ini, Bajet 2014 dirangka bertemakan “MEMPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI, MEMPERKASA TRANSFORMASI DAN MELAKSANA JANJI”, dengan menggariskan lima teras utama.

Teras Bajet Yang Pertama: Merancak Aktiviti Ekonomi
Teras Bajet Yang Kedua: Mengukuh Pengurusan Fiskal
Teras Bajet Yang Ketiga: Mengunggul Modal Insan
Teras Bajet Yang Keempat: Mempergiat Pembangunan Bandar dan Luar Bandar
Teras Bajet Yang Kelima: Mensejahtera Kehidupan Rakyat


PRESTASI EKONOMI 2013 DAN PROSPEK 2014

Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

18. Izinkan saya mengutarakan tentang prospek ekonomi global dan negara masa kini. Ekonomi dunia dijangka berkembang perlahan dengan kadar 2.9 peratus pada tahun 2013. Malaysia tidak terkecuali daripada tempias ini.

Namun, asas ekonomi negara yang kukuh dan dasar monetari yang akomodatif membolehkan kita terus mencatat pertumbuhan yang mapan. Malah, dalam tempoh separuh pertama tahun ini, ekonomi negara berkembang sebanyak 4.2 peratus.

19. Indikator ekonomi menunjukkan trend yang menyokong pertumbuhan. Sebagai contoh, sehari sebelum pembentangan Bajet ini, Indeks Bursa Malaysia mencatat paras dan nilai tertinggi dalam sejarah negara iaitu 1,818 mata, bersamaan dengan nilai pasaran 1.66 trilion ringgit pada penutup Bursa, 24 Oktober 2013. Ia membuktikan keyakinan pelabur luar dan domestik semakin meningkat.

20. Kemasukan pelaburan langsung asing bersih pula, jumlahnya lebih tinggi, yakni 18.2 bilion ringgit berbanding 15.9 bilion ringgit pada separuh pertama 2012. Manakala, rizab antarabangsa pula, kekal kukuh sebanyak 444.9 bilion ringgit pada 14 Oktober 2013. Tuan Yang di-Pertua, jumlah ini mampu membiayai 9.7 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.

21. Bagi keseluruhan tahun 2013, ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar 4.5 hingga 5 peratus. Prestasi tersebut disokong oleh pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak 16.2 peratus dengan anggaran pelaburan sebanyak 165 bilion ringgit. Di samping itu, penggunaan swasta dan awam dijangka berkembang 7.4 dan 7.3 peratus, disokong terutamanya oleh kerancakan aktiviti ekonomi domestik.

22. Pada tahun 2014, berdasarkan prospek ekonomi global yang dijangka lebih baik, ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada kadar 5 hingga 5.5 peratus. Pertumbuhan ini akan dipacu oleh pelaburan swasta, sebanyak 12.7 peratus dan penggunaan swasta sebanyak 6.2 peratus.

23. Berikutan perkembangan positif permintaan luar negara, eksport barangan dijangka meningkat pada kadar 2.5 peratus. Dari sudut penawaran, sektor pembinaan dianggar meningkat pada kadar 9.6 peratus dan diikuti sektor perkhidmatan 5.7 peratus. Kadar pengangguran pula dianggar hanyalah pada 3.1 peratus, manakala kadar inflasi kekal rendah di paras 2 hingga 3 peratus.

Tuan Yang di-Pertua,

24. Ingin saya kongsikan di sini, pendapatan perkapita tahun 2014 dijangka akan mencecah 34,126 ringgit berbanding 24,879 ringgit pada tahun 2009. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 37 peratus dalam tempoh 6 tahun.

Sehubungan hal ini, jika dicongak, InsyaAllah, besar kemungkinan pendapatan perkapita pada tahun 2020 kelak mampu melebihi sasaran 46,500 ringgit atau 15 ribu Dolar Amerika. Dalam erti kata lain, mudah-mudahan kita mampu menjadi negara maju lebih awal daripada tahun 2020.


PERUNTUKAN BAJET 2014

Tuan Yang di-Pertua,

25. Bajet 2014 akan menyediakan peruntukan sebanyak 264.2 bilion ringgit bagi melaksanakan langkah-langkah, program dan projek kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Daripada jumlah tersebut, 217.7 bilion ringgit diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan 46.5 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan.

26. Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah 63.6 bilion ringgit adalah bagi Emolumen dan 36.6 bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, 114.5 bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 1.4 bilion ringgit lagi, disediakan untuk Pembelian Aset dan baki 1.5 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.

Tuan Yang di-Pertua,

27. Daripada peruntukan pembangunan yang berjumlah 46.5 bilion ringgit itu, sejumlah 29 bilion ringgit disediakan untuk sektor ekonomi. Sebanyak 10.5 bilion ringgit bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, 3.9 bilion ringgit diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan. Selebihnya, 1.1 bilion ringgit bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.

28. Pada tahun 2014, Kerajaan Persekutuan mengunjurkan kutipan hasil sebanyak 224.1 bilion ringgit, yakni, tambahan sebanyak 4 bilion ringgit berbanding tahun 2013. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit fiskal Kerajaan Persekutuan dijangka terus berkurangan kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar atau KDNK bagi tahun 2014, berbanding 4 peratus pada tahun 2013. Jelas di sini Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan sangat komited dalam usaha konsolidasi fiskal bagi memperkukuhkan lagi kedudukan kewangan negara.

Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

29. Dengan mengambil kira senario ekonomi antarabangsa dan domestik semasa seperti yang tersebut, maka sekarang saya bentangkan lima teras yang dirangka sebagai tunjang dan pedoman bagi Bajet 2014.

TERAS PERTAMA: MERANCAK AKTIVITI EKONOMI

30. Dalam hal ini, Kerajaan akan terus menyediakan persekitaran yang mesra dan kondusif untuk melonjak pelaburan domestik dan asing. Usaha Kerajaan menunjukkan terdapatnya peningkatan dalam pelaburan swasta. Sebagai contoh, jika pada tahun 2010, sumbangan pelaburan swasta kepada KDNK adalah 12.4 peratus, kini, ia telah meningkat kepada 16.7 peratus.

31. Bagi tahun 2014 pula, pelaburan swasta dianggarkan meningkat kepada 189 bilion ringgit atau 17.9 peratus KDNK, terutamanya dalam bidang minyak dan gas, industri tekstil, kelengkapan pengangkutan serta pembangunan hartanah.

32. Di samping itu, pelaburan awam dianggarkan mencecah sebanyak 106 bilion ringgit. Di antara projek yang akan dilaksanakan ialah pembinaan Lebuhraya Pantai Barat dari Banting ke Taiping sepanjang 316 kilometer, pembinaan landasan keretapi berkembar Ipoh ke Padang Besar dan kemudiannya dari Gemas ke Johor Bahru.

33. Dalam bidang minyak dan gas pula, antara projek yang akan dilaksanakan oleh Petronas merangkumi Projek Ammonia Urea Sabah atau SAMUR di Sipitang, projek pembangunan bersepadu pengeluaran gas dan minyak di Kebabangan dan projek loji regasifikasi di Lahad Datu, Sabah serta projek RAPID di Pengerang, Johor yang merupakan pelaburan terbesar di Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua,

34. Menjengah sudut lain, Kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan di lima Wilayah Koridor Ekonomi dengan menyediakan infrastruktur asas serta melaksanakan projek yang berimpak tinggi. Sehingga akhir 2012, sejumlah 124 bilion ringgit pelaburan telah direalisasikan atau 41 peratus daripada keseluruhan pelaburan berkomited di wilayah koridor.

35. Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2013 pula, kesemua koridor telah berjaya menarik pelaburan berkomited berjumlah 53.4 bilion ringgit. Hampir 50 peratus daripada pelaburan berkomited tersebut telah direalisasikan. Antara projek di Wilayah Iskandar adalah, Studio Pinewood, Hospital Gleaneagles Medini serta Sekolah Antarabangsa Pegasus. Selain itu, projek pembentungan dan tebatan banjir juga akan dilaksanakan.

36. Kerajaan turut menyediakan 1.6 bilion ringgit pada 2014 bagi pembangunan di lima Wilayah Koridor ini. Di antara projek utama ialah projek agropolitan, industri berasaskan kelapa sawit di Wilayah Pembangunan Sabah, serta taman perindustrian Samalaju dan halal hub di Wilayah Koridor Sarawak.

37. Manakala di Wilayah Pantai Timur, Pelabuhan Kuantan akan diperluas. Kompleks Petrokimia Bersepadu akan dibina di Gebeng dan Kertih. Bagi Koridor Wilayah Utara pula, antara projek utamanya termasuklah projek tanaman ladang komersil dan sistem fertigasi.

Tuan Yang di-Pertua,

Merancak Sektor Perkhidmatan

38. Sektor perkhidmatan, merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dan berpotensi besar untuk terus dimajukan. Sumbangan sektor ini telah meningkat kepada 55 peratus tahun 2013, berbanding 49.3 peratus tahun 2000. Bagi terus menggalakkan pertumbuhan sektor ini, Kerajaan akan memperkenalkan Pelan Induk Sektor Perkhidmatan pada tahun 2014, yang akan menggariskan beberapa langkah dan strategi serta mengenalpasti subsektor yang berpotensi untuk dimajukan seperti berikut.

Meningkat Potensi Sektor Logistik

39. Pada masa ini, Malaysia menduduki tangga ke-29 Indeks Prestasi Logistik Laporan Bank Dunia 2012. Indeks ini mengukur penanda aras prestasi aktiviti logistik yang merangkumi penghantaran, infrastruktur, ketepatan masa, kelulusan kastam dan kompetensi. Walau masih ketinggalan berbanding negara maju, senario ini mampu diperbaiki.

40. Jadinya, supaya sektor logistik lebih efisien, Kerajaan akan merangka Pelan Induk Sektor Logistik. Pelan ini akan menyediakan halatuju pembangunan infrastruktur logistik, rantaian bekalan serta semakan semula peraturan dan undang-undang.

Di samping itu, Kerajaan melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad akan memperuntukkan 3 bilion ringgit bagi Dana Pembangunan Maritim secara pinjaman mudah. Dana ini menyediakan akses pembiayaan untuk menggalakkan perkembangan industri perkapalan, pembinaan limbungan, minyak dan gas serta aktiviti sokongan berkaitan maritim.

Menggalak Industri Penerbangan

41. Malaysia berpotensi menjadi hub penerbangan di rantau ini. Industri ini dapat memberi kesan pengganda kepada ekonomi memandangkan permintaan terhadap penumpang dan kargo udara semakin meningkat. Bagi tempoh Januari hingga Julai 2013, jumlah penumpang di lapangan terbang seluruh negara bertambah kepada 43.9 juta berbanding 38.6 juta penumpang bagi tempoh yang sama pada 2012.

42. Jumlah kargo udara yang dikendalikan, turut meningkat kepada 529 ribu tan bagi tempoh yang sama. Dengan beroperasinya KLIA2 nanti, jumlah penumpang dijangka meningkat kepada lebih 70 juta. Untuk memajukan lagi industri ini, Kerajaan akan menggubal Dasar Penerbangan Nasional yang akan menggariskan langkah-langkah bagi mengukuh eko-sistem dan rantaian perkhidmatan industri penerbangan.

43. Bagi melicinkan pengurusan operasi dan pengendalian trafik udara, sistem pengurusan trafik udara sedia ada di Subang yang telah berusia hampir 20 tahun itu, akan digantikan. Oleh itu, sebuah pusat pengurusan trafik udara baru dengan kos sebanyak 700 juta ringgit akan dibina di KLIA. Sistem baru ini, akan dapat meningkatkan pergerakan trafik udara dari 68 kepada 108 pergerakan setiap jam melalui 3 landasan. Untuk makluman dewan yang mulia, kapasiti pengendalian ini adalah antara yang tertinggi di dunia.

44. Demi keselesaan para penumpang, Kerajaan juga akan menaiktaraf beberapa lapangan terbang termasuk di Kota Kinabalu, di Sandakan Sabah serta Miri, Sibu juga Mukah di Sarawak. Untuk tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 312 juta ringgit. Di samping itu, terminal penumpang dilapangan terbang antarabangsa Langkawi dan lapangan terbang Kuantan akan dinaik taraf.

Mempromosi Sektor Pelancongan

45. Sektor ini telah menjana pendapatan sebanyak 65 bilion ringgit pada tahun 2013 dan berpotensi untuk dipertingkatkan lagi. Pada tahun 2012, kita berjaya menarik kemasukan seramai 25 juta pelancong dari seluruh dunia. Bertitik tolak dari perkembangan yang memberansangkan ini dengan sasaran sebanyak 28 juta pelancong, tahun 2014 telah diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia.

46. Dalam menjayakan ikhtiar ini, Kerajaan memperuntukkan 1.2 bilion ringgit bagi tahun 2013 dan 2014, merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan yang meliputi program promosi dan pengiklanan.

47. Sebagai usaha berterusan menggalakkan kemasukan pelancong, sukacita saya mengumumkan pula, tahun 2015 sebagai Year of Festival dengan penganjuran dan pameran pelbagai program budaya dan perayaan di negara ini.

48. Sebagaimana kita maklum, Malaysia juga terkenal antara destinasi utama atau shopping paradise pilihan pelancong. Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, menurut Laporan CNN Travel 2013 menunjukkan Kuala Lumpur menduduki tempat ke-4 sebagai bandaraya paling popular untuk membeli-belah selepas New York, Tokyo dan London. Malah dari segi value for money kita teratas.

49. Bagi terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan, Kerajaan akan meneruskan galakan pelaburan terutamanya bagi hotel baru bertaraf 4 dan 5 bintang. Langkah ini dapat membantu menyediakan penginapan bertaraf antarabangsa yang mencukupi sekaligus menarik kedatangan pelancong, terutamanya dari kategori mewah dan berbelanja tinggi.

Menyokong usaha ini, Kerajaan mencadangkan tempoh permohonan galakan Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan dilanjutkan selama 3 tahun lagi sehingga 31 Disember 2016.

50. Selain itu, di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Tabung Khas Infrastruktur Pelancongan dengan peruntukan sejumlah 2 bilion ringgit, akan disediakan. Tabung ini akan menyediakan pinjaman mudah dengan kadar faedah rendah antara 4 hingga 6 peratus, di mana Kerajaan memberi subsidi sebanyak dua peratus. Tabung ini dapat membiayai kos pembinaan infrastruktur seperti hotel, pusat peranginan, taman tema serta pembelian dan penggantian peralatan yang berkaitan dengan sektor pelancongan.

Tuan Yang di-Pertua,

Meluaskan Akses Internet

51. Dunia kini adalah dunia tanpa sempadan. Tidak seperti dahulu, pelbagai informasi kontemporari boleh diperolehi di hujung jari. Maknanya, peningkatan akan dibuat bagi mencapai tahap prasarana yang sewajarnya untuk menampung keperluan pengguna. Sebab itu, di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara, Kerajaan telah melaksanakan projek High Speed Broad Band atau HSBB.

52. Usahasama dengan pihak swasta ini melibatkan pelaburan sebanyak 11.3 bilion ringgit, sejak Rancangan Malaysia Kesembilan. Kini, projek HSBB telah dilaksanakan dengan capaian internet berkelajuan 4 megabits sesaat. Ini memanfaatkan 2.3 juta premis terutama di kawasan bandar.

53. Untuk meningkatkan lagi liputan internet di bandar-bandar utama, Kerajaan akan melaksanakan Fasa Kedua Projek HSBB dengan kerjasama pihak swasta. Ini melibatkan kos pelaburan sebanyak 1.8 bilion ringgit.

Inisiatif ini dijangka memberi tambahan liputan dan kemudahan kepada masyarakat, terutama di kawasan bandar merangkumi 2.8 juta isirumah di seluruh negara. Kelajuan internet ini
dijangka mampu mencapai 10 megabits sesaat.

54. Kepada rakyat yang tinggal di kawasan pinggir bandar, jaringan HSBB akan diperluas dengan kelajuan capaian internet dipertingkatkan antara 4 hingga 10 megabits sesaat. Kemudahan ini akan memanfaatkan lebih 2 juta pengguna dengan kos pelaburan sebanyak 1.6 bilion ringgit. T

Tuan Yang di-Pertua,

55. Selain itu, 1,000 menara pemancar telekomunikasi akan dibina dalam tempoh 3 tahun dengan pelaburan sebanyak 1.5 bilion ringgit untuk meningkatkan liputan internet di kawasan luar bandar. Bagi meningkatkan capaian internet di Sabah dan Sarawak, kabel dasar laut yang baru akan dipasang dalam tempoh 3 tahun dengan kos 850 juta ringgit. Semua pelaburan ini akan menggunakan Tabung Pemberian Perkhidmatan Sejagat di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua,

Mengukuh Pasaran Kewangan

56. Pada masa ini, pasaran bon negara merupakan yang terbesar di Asia Tenggara dengan nilai melebihi satu trilion ringgit, manakala pasaran pertukaran asing dan pasaran wang mencatat jumlah dagangan melebihi 30 bilion ringgit sehari. Bagi mempastikan operasi pasaran kewangan yang cekap, rangka kerja perundangan yang jelas diperlukan.

57. Untuk ini, pindaan terhadap undang-undang yang sedia ada akan dilaksanakan dan seterusnya Bank Negara akan menerajui dalam penyediaan Akta Penyelesaian atau Netting Act bagi memelihara hak penguatkuasaan “close-out netting” di bawah kontrak kewangan.

Ini bertujuan bagi mengurangkan risiko kredit dan menggalakkan pasaran derivative, dan seterusnya dapat membantu mengurangkan risiko sistemik pasaran kewangan negara serta merendahkan kos menjalankan perniagaan.

58. Kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran modal Islam memberi kelebihan dalam menarik dana dan menerbit sekuriti. Untuk terus meningkatkan daya saing di peringkat global, usaha akan ditingkatkan bagi mempromosi negara sebagai pasaran Pelaburan Tanggungjawab Sosial atau Social Responsible Investment (SRI).

59. Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk memperkenalkan Indeks Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus atau dikenali sebagai Indeks Environmental, Social and Governance (ESG), untuk meningkatkan profail syarikat tersenarai yang mempunyai amalan tanggungjawab sosial yang tinggi.

60. Ke arah ini, Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Tanggungjawab Sosial atau Sukuk SRI untuk membiayai pelbagai inisiatif pelaburan yang mapan dan bertanggungjawab.

Di samping itu, Kerajaan akan menubuhkan dana SRI bagi dilaburkan dalam syarikat-syarikat tersenarai yang menunjukkan amalan akauntabiliti, ketelusan dan kemampanan yang tinggi termasuk ciri-ciri keterangkuman seperti diversiti dari segi gender, umur dan etnik.

61. Sebagai permulaan, Valuecap akan memperuntukan satu billion ringgit untuk melabur dalam syarikat yang menunjukkan prestasi yang tinggi dalam Indeks ESG. Saya percaya, langkah ini, akan menjadi satu galakan kepada syarikat-syarikat untuk menunjukkan komitmen tanggungjawab sosial yang tinggi.

Menggalak Skim Persaraan

62. Pada tahun 2010, Kerajaan telah menubuhkan Skim Persaraan 1Malaysia atau SP1M bagi golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk mencarum secara sukarela di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau KWSP. Sehingga kini, hampir 66,000 pencarum telah menyertai skim ini dengan jumlah simpanan melebihi 240 juta ringgit.

63. Bagi terus menggalakkan lebih ramai rakyat menyertai skim ini, saya mencadangkan sumbangan Kerajaan ditingkatkan daripada 5 peratus kepada 10 peratus, yakni daripada jumlah maksimum 60 ringgit setahun kepada 120 ringgit setahun. Peningkatan ini berkuatkuasa mulai 1 Januari 2014 sehingga akhir tahun 2017 dan dijangka dapat menarik penyertaan 30 ribu pencarum baru.

64. Kerajaan sedar akan pentingnya budaya menabung semasa usia muda bagi mempastikan simpanan yang mencukupi selepas persaraan. Untuk meningkatkan simpanan tambahan, Kerajaan menggalakkan golongan muda untuk membuat pelaburan jangka panjang melalui Skim Persaraan Swasta atau PRS.

65. Oleh itu, Kerajaan mencadangkan insentif 500 ringgit secara one-off kepada pencarum yang menyertai skim PRS dengan pelaburan minimum terkumpul seribu ringgit dalam tempoh setahun. Insentif ini terbuka kepada individu yang berumur antara 20 hingga 30 tahun dan dianggarkan dapat menarik seramai 420 ribu pencarum muda di seluruh negara. Insentif ini akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2014 bagi tempoh lima tahun dan akan melibatkan peruntukan sebanyak 210 juta ringgit.

Tuan Yang di-Pertua,

Meningkatkan Rantaian Sektor Pertanian

66. Hakikatnya sejak dahulu kala, bidalan lama menyatakan, berbudi pada tanah, berbakti kepada bumi, nescaya kita dapat menuai hasilnya. Lalu, seperti tiap tahun, bidang pertanian tersusun dalam agenda Bajet negara.

67. Peruntukan sebanyak 6 bilion ringgit akan disediakan untuk pelaksanaan program pertanian yang mempunyai nilai tambah tinggi dan berdaya komersil. Antara inisiatif utama adalah seperti berikut:

Pertama: Menubuhkan Food and Agro Council for Export atau FACE yang akan dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Ia bertindak sebagai pemudahcara untuk meningkatkan eksport produk pertanian tempatan;

Kedua: Memperkukuhkan FAMA untuk memainkan peranan yang lebih strategik dengan konsep dari ladang ke pasaran eksport. Sebagai contoh, FAMA akan menganjurkan
Agro bazaar di Singapura.

Memandangkan permintaan dan harga yang tinggi, kita juga akan berusaha untuk meningkatkan eksport durian ke pasaran China. Untuk mempastikan kesegaran produk pertanian, Kerajaan akan turut menyediakan kemudahan cold room di KLIA. Tujuannya, selain daripada meningkatkan eksport negara, ia dapat memberi pulangan yang lebih tinggi kepada para petani; dan

Ketiga: Mempastikan harga berpatutan bagi produk makanan dengan membuka tambahan 60 pasar tani, 50 pasar ikan, 50 karavan tani, serta memperluas 100 gerai buah-buahan segar di seluruh negara. Langkah ini akan dikendalikan oleh FAMA dan LKIM yang dapat memberi kemudahan kepada peniaga menjual secara langsung produk makanan kepada pengguna.

Tuan Yang di-Pertua,

68. Selanjutnya, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 2.4 bilion ringgit bagi meneruskan bantuan subsidi dan insentif. Ini merangkumi subsidi baja, benih dan harga padi, insentif pengeluaran dan peningkatan hasil padi, subsidi harga beras serta insentif hasil tangkapan nelayan. Di samping itu, Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak 243 juta ringgit bagi tujuan pelaksanaan program tanaman semula getah, kelapa sawit dan koko serta program ladang hutan.

69. Selain itu, bagi meningkat produktiviti serta menghasilkan produk pertanian yang mempunyai permintaan tinggi, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 634 juta ringgit di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara. Antara projek yang terlibat adalah tanaman padi, projek ikan dalam sangkar, projek rumpai laut dan burung walit, projek herba bernilai tinggi, tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan bagi pasaran eksport.

70. Kerajaan juga akan melaksanakan projek ternakan lobster atau udang kara di Semporna, Sabah dengan kerjasama syarikat Multinasional untuk menghasilkan sebanyak 18 ribu tan metrik yang dijangka dapat mewujudkan 20 ribu peluang pekerjaan dan membantu lebih 6,000 pengusaha tempatan pada jangka panjang serta meningkatkan pendapatan sehingga empat ribu ringgit sebulan.

71. Bagi meningkatkan lagi daya saing dan memacu sumbangan Bioekonomi kepada pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan akan melaksanakan program Bioeconomy Community Development untuk membangun tanah-tanah terbiar melalui aplikasi bioteknologi dan penanaman kontrak untuk menambah nilai industri pertanian dan pendapatan petani.

72. Selain itu, Kerajaan juga menyedari peranan aktiviti penyelidikan dan pembangunan atau R&D sebagai pemangkin kepada pembangunan Bioekonomi. Oleh itu, insentif R&D berikut akan diberi kepada projek yang berkelayakan yang akan dinilai oleh BiotechCorp:

Pertama : Potongan cukai kepada syarikat yang melabur untuk memperoleh platform teknologi dalam industri berasaskan bio;

Kedua : Pengecualian duti import ke atas peralatan R&D bagi syarikat yang melabur dalam pilot plant untuk tujuan pra-pengkomersilan di Malaysia; dan

Ketiga : Insentif khas kepada syarikat untuk menampung sebahagian kos operasi pembangunan modal insan bagi Centre of Excellence for R&D. Insentif ini adalah bagi permohonan yang diterima oleh BiotechCorp mulai 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2018.

Tuan Yang di-Pertua,

Pembangunan Usahawan

73. Mengikut hadis, sembilan per sepuluh rezeki itu adanya dalam perniagaan. Oleh hal yang demikian, kita ingin melatih dan melahirkan para usahawan di kalangan golongan muda agar suatu masa nanti mereka dapat menjadi ahli-ahli perniagaan dan saudagar yang berjaya. Lantas, Kerajaan terus komited dalam mempastikan pembangunan usahawan atau entreprenur sebagai sumber utama menjana pertumbuhan ekonomi negara.

74. Justeru, satu pelan pembangunan entreprenur akan digubal untuk menyediakan ekosistem kondusif yang memberi penekanan aspek penjanaan idea yang boleh dikomersilkan, prasarana latihan dan inkubator, modul entrepreneurship, kemudahan pembiayaan serta pemasaran.

Bagi melaksanakan pelan pembangunan usahawan ini, satu entiti National Entrepreneur Development Office akan diwujudkan di bawah Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan bagi merancang dan menyelaras semua aktiviti berkaitan keusahawanan.

Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

75. Sehubungan itu, semasa 4th Global Entrepreneurship Summit baru-baru ini, saya telah mengumumkan penubuhan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia atau Malaysian Global Innovation and Creativity Centre, ringkasnya MaGIC, sebagai pusat sehenti bagi mendayakan para usahawan. MaGIC akan memantau prestasi entreprenur, mempunyai pengkalan data bersepadu, menyediakan pusat inkubator, pendaftaran dan paten harta intelek, prasarana pembiayaan, padanan perniagaan, bimbingan dan kaunseling serta latihan. Kerajaan akan memberi peruntukan awal sebanyak 50 juta ringgit bagi tujuan ini.

76. Bagi menjadikan Malaysia sebuah Entrepreneurial Nation, program 1Malaysia Entrepreneurs atau 1MeT telah dilaksanakan untuk memberi pendedahan aspek keusahawanan kepada golongan muda yang berminat menceburi bidang perniagaan. Melalui program 1MeT juga, satu pangkalan data peserta telah dibangunkan.

77. Kerajaan mensasarkan seramai 5,000 entreprenur muda dilatih setiap tahun. Seterusnya, entreprenur 1MeT yang komited akan diberi bimbingan lanjutan di MaGIC Centre. Selain itu, negara juga akan menjadi tuan rumah kepada 5th Global Social Business Summit pada 7 hingga 9 November 2013 yang akan menjadi platform kepada pembangunan entreprenur sosial terutama di kalangan golongan muda di
negara ini.

78. Bagi mengurangkan kadar pengangguran di kalangan siswazah, Kerajaan menggalakkan golongan siswazah menceburi bidang keusahawanan sejurus selepas menamatkan pengajian. Bagi inisiatif ini, sukacita saya umumkan dana pinjaman mudah sebanyak 50 juta ringgit di bawah Tabung Usahawan Siswazah yang dikendalikan oleh SME Bank. Dana ini akan menyediakan pinjaman mudah sehingga
500 ribu ringgit dengan kadar faedah empat peratus.

Memantap Perusahaan Kecil dan Sederhana

79. Pada masa ini, 97.3 peratus daripada jumlah perniagaan berdaftar adalah PKS yang menyumbang sebanyak 32.4 peratus kepada KDNK. Dengan definisi baru PKS yang telah diumumkan baru-baru ini, jumlah perniagaan PKS berdaftar dijangka meningkat kepada 98.5 peratus. Seterusnya, Kerajaan komited untuk mempastikan sumbangan sektor PKS ini mencapai 40 peratus kepada KDNK menjelang 2020.

80. Bagi meningkatkan inovasi dan produktiviti PKS, Kerajaan mencadangkan peruntukan pakej bersepadu sebanyak 120 juta ringgit yang merangkumi dana pinjaman untuk membiayai program mekanisasi dan automasi serta program peningkatan kapasiti PKS. Selain itu, Kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan dan insentif di bawah program Green Lane Policy melalui pembiayaan, insentif cukai dan perolehan termasuk:

Pertama: Insentif pinjaman mudah dengan subsidi kadar faedah dua peratus atau jumlah maksimum 200 ribu ringgit setahun;

Kedua: Pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman di bawah insentif pinjaman mudah;

Ketiga: Potongan cukai ke atas perbelanjaan untuk mendapatkan pensijilan 1-InnoCERT;

Keempat: Insentif perolehan Kerajaan merangkumi pendaftaran syarikat bertaraf pembuat, diluluskan tanpa lawatan dan pemberian markah bonus dalam penilaian teknikal; dan

Kelima: Insentif keutamaan dalam perolehan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan. Kerajaan bercadang untuk melanjutkan kesemua insentif ini sehingga 31 Disember 2017.

Tuan Yang di-Pertua,

81. Kerajaan telah menguatkuasakan Dasar Gaji Minimum pada 1 Januari 2013. Kadar gaji minimum adalah 900 ringgit sebulan bagi Semenanjung Malaysia. Manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan, kadarnya adalah 800 ringgit sebulan.

Bagi menggalakkan pematuhan kepada dasar ini, di samping mengurangkan kesan kewangan kepada majikan PKS, koperasi, pertubuhan dan persatuan, Kerajaan mencadangkan
supaya bayaran perbezaan gaji yang ditanggung oleh majikan bagi tempoh 1 Januari 2014 sehingga 31 Disember 2014 diberi potongan cukai tambahan.

82. Bagi membantu peniaga pasar malam, Kerajaan akan mewujudkan Skim Usahawan Pasar Malam dengan dana sebanyak 100 juta ringgit di bawah kendalian Bank Simpanan Nasional. Skim pinjaman mudah ini akan mengenakan kadar faedah empat peratus dengan pinjaman maksimum sehingga 30 ribu ringgit. Kemudahan ini bertujuan menampung kos perniagaan seperti modal pusingan, sewaan tapak, bahan
mentah dan kelengkapan perniagaan.

TERAS KEDUA: MENGUKUH PENGURUSAN FISKAL

Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Transformasi Perkhidmatan Awam

83. Pertama sekali, kita memerlukan kepada Transformasi Perkhidmatan Awam. Untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan, Kerajaan telah melaksanakan pelan transformasi di setiap kementerian. Langkah ini amat penting bagi mengukuh dan menyusun semula organisasi supaya relevan dengan perkembangan semasa.

84. Bercakap tentang perkara ini, Kerajaan memandang serius isu yang dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012. Demi mengukuhkan keyakinan rakyat dan menjaga imej dan kredibiliti sektor awam, Kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara bagi menyiasat serta mengambil tindakan tegas ke atas salah laku penjawat awam.

85. Penyiasatan dan tindakan tatatertib sedang dijalankan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam ke atas lebih daripada 100 kes ketidakpatuhan kepada prosedur-prosedur kewangan termasuk prosedur perolehan manakala sebanyak 15 kes sedang disiasat untuk tindakan pendakwaan di mahkamah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

86. Sebagai langkah penambahbaikan, Kerajaan akan menubuhkan Unit Pengurusan Integriti yang dianggotai oleh SPRM di setiap kementerian bagi meningkatkan pematuhan dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Menambahbaik Pengurusan Belanjawan

87. Untuk menambahbaik pengurusan belanjawan secara berhemah, Sistem Outcome Based Budgeting atau OBB diperkenalkan bagi memastikan penyediaan peruntukan adalah berasaskan outcome, meningkat kecekapan pelaksanaan, mengurang pertindihan serta penilaian prestasi bersistematik ke atas semua program dan projek Kerajaan. Bagi tahun 2014, buat permulaan, tiga kementerian iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kewangan akan menjalani proses penilaian prestasi berdasarkan OBB.

88. Pada bulan Jun lepas, Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Fiskal Negara. Ianya berperanan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan dan mempastikankemampanan fiskal serta kestabilan makroekonomi bagi jangka panjang.

Kerajaan komited untuk terus mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat dengan sasaran mencapai bajet berimbang pada tahun 2020. Kerajaan juga akan mempastikan paras hutang kekal di tahap yang rendah, tidak melebihi tahap 55 peratus kepada KDNK.

89. Di samping itu, Kerajaan akan terus mempastikan lebihan semasa yang kukuh di mana kutipan hasil sentiasa melebihi perbelanjaan mengurus. Kerajaan turut memberi penekanan bagi meningkatkan kecekapan dan penjimatan perbelanjaan, mengutamakan pelaksanaan projek yang berimpak tinggi serta menambahbaik kaedah pengauditan.

90. Pada masa ini, kaedah pengauditan hanya dibuat selepas sesuatu projek atau program selesai dilaksanakan. Maka, sebagai langkah proaktif, Kerajaan akan membuat pengauditan ke atas projek yang melebihi 100 juta ringgit semasa pelaksanaan projek tersebut.

Potongan Cukai Bulanan Sebagai Cukai Muktamad

91. Pada masa ini, pembayar cukai yang mempunyai pendapatan penggajian dan membuat potongan cukai bulanan atau PCB perlu mengemukakan borang cukai sebelum atau pada 30 April setiap tahun. Kita mendapat rungutan, bahawa pengemukaan borang cukai setiap tahun oleh pembayar cukai yang mempunyai PCB telah menimbulkan kekeliruan. Ini kerana, walaupun PCB telah dipotong, borang cukai
masih perlu dikemukakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

92. Jadinya, untuk memudahkan pembayar cukai yang berpendapatan penggajian di mana PCB dipotong, adalah dicadangkan supaya pembayar cukai tidak perlu mengemukakan borang nyata cukai pendapatan sekiranya berpuas hati bahawa PCB adalah dianggap cukai muktamad. Cadangan ini akan berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2014.

Tuan Yang di-Pertua,

Rasionalisasi Subsidi

93. Subsidi secara pukal, amnya boleh menjadi pembantut kepada pertumbuhan negara sekiranya tidak sampai kepada kumpulan sasar secara tepat. Kerajaan menyediakan hampir 47 bilion ringgit pada tahun 2013 untuk pelbagai jenis subsidi, insentif dan bantuan antaranya subsidi produk petroleum, barangan makanan, kesihatan, pertanian dan perikanan, utiliti, tol serta kebajikan dan pendidikan.

94. Daripada jumlah ini, bahagian terbesar iaitu sebanyak 24.8 bilion ringgit atau 53 peratus adalah untuk subsidi produk petroleum yang dinikmati oleh semua golongan, termasuk yang berpendapatan tinggi, peniaga dan warga asing.

Di samping itu, berlaku penyeludupan produk bersubsidi oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Subsidi adalah penggunaan wang rakyat bagi menambah baik kehidupan rakyat. Tetapi jika subsidi itu adalah pembantut dan merugikan rakyat, Kerajaan yang bertanggungjawab dengan kepercayaan yang telah diberikan perlu mengambil keputusan yang terbaik bagi rakyat.

95. Untuk mempastikan sistem subsidi yang bersasar, Kerajaan akan secara berperingkat menstruktur semula kaedah pemberian subsidi. Ini adalah untuk mempastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja patut menikmatinya.

Sebahagian daripada penjimatan penstrukturan semula sistem subsidi akan di beri secara terus dalam bentuk bantuan tunai, dan sebahagian lagi akan digunakan untuk menampung pembiayaan projek pembangunan Kerajaan. Sebagai langkah permulaan, Kerajaan telah mengurangkan subsidi produk petroleum sebanyak 20 sen pada 3 September yang lalu.

96. Di samping itu, bagi mempastikan tiada pertindihan dan keciciran pemberian bantuan kepada golongan sasar, Kerajaan akan mewujudkan satu sistem pangkalan data yang komprehensif termasuk mengintegrasi data e-Kasih, data penerima bantuan kebajikan dan penerima BR1M. Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri akan menerajui inisiatif ini.


Tuan Yang di-Pertua,

Cukai Barang dan Perkhidmatan

97. Kerajaan mendapati cukai jualan dan cukai perkhidmatan semasa, mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu seperti kesan cukai berganda ke atas pengguna, ketiadaan pelepasan cukai ke atas barang yang dieksport dan isu pindahan harga atau transfer pricing. Kelemahan ini akhirnya akan merugikan rakyat sebagai pengguna dan pihak Kerajaan.

98. Pada Bajet tahun 2013, Kerajaan telah membayangkan tentang usaha besar pengukuhan kedudukan fiskal negara. Malah sebelum itu, Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan telahpun dibacakan di dewan yang mulia ini. Sejak itu, pelbagai reaksi positif mahupun negatif dan pandangan telah kita terima.

99. Hakikatnya, Kerajaan telahpun mengambil tempoh beberapa tahun, yakni masa yang mencukupi untuk menjalankan kajian dengan teliti dan menyeluruh serta mengambil kira semua pandangan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk dewan perniagaan, pelabur, pakar ekonomi, ahli akademik, persatuan pengguna dan NGO.

Tuan Yang di-Pertua,

100. Lantaran itu, berasaskan prinsip mendahulukan rakyat, Kerajaan dengan ini memutuskan supaya satu sistem percukaian menyeluruh dan saksama perlu segera dilaksanakan bagi memanfaatkan seluruh rakyat Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua,

101. Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan cukai jualan dan cukai perkhidmatan atau Sales Tax and Services Tax dimansuhkan. Dua cukai yang dimansuhkan ini pula akan digantikan dengan satu cukai sahaja yang dikenali dengan nama Cukai Barang dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax atau GST. Ringkasnya, perlu saya tegaskan, bahawa GST bukanlah cukai tambahan baru.

102. Realitinya, kadar inflasi kini adalah pada tahap yang rendah di paras dua peratus. Kerajaan yakin, ini adalah masa yang terbaik untuk melaksanakan GST kerana kadar inflasi adalah minimum dan terkawal.

103. Dengan pelaksanaan GST, Kerajaan dapat menangani banyak kelemahan dalam sistem percukaian sedia ada. Sebagai contoh, pada waktu ini, sekiranya kita membeli minuman berkarbonat di restoran, tanpa kita sedari, kita telah membayar dua kali cukai, yakni cukai jualan dan cukai perkhidmatan.

104. Dalam bahasa mudahnya, untuk difahami oleh semua, dalam sistem GST ini, pengguna hanya perlu membayar satu kali cukai sahaja. Realitinya juga, perubahan harga barangan atau perkhidmatan apabila GST dilaksanakan adalah amat minimum. Malahan, ada harga barangan yang akan menjadi lebih murah bergantung samada ianya adalah barangan asas atau tidak.

105. Kerana itu, kita berasa amat kecewa, apabila, sesetengah pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dengan mengelirukan orang ramai terhadap kefahaman GST. Mereka mengatakan apabila GST dilaksanakan, kononnya, semua harga barang akan melambung naik, dan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah akan menanggung beban.

106. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, lebih 160 buah negara di dunia telah pun melaksanakan GST. Ini menunjukkan bahawa GST adalah satu sistem percukaian yang terbaik setakat ini dan terbukti berkesan.

Sekiranya GST ini memudaratkan rakyat dan negara, masakan majoriti negara di dunia telah mengguna pakai sistem percukaian ini. Hampir semua negara maju telah lama melaksanakan GST atau VAT atau cukai nilai ditambah ini, malah negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Filipina, Laos dan Cambodia telah melaksanakannya. Malahan, negara-negara seperti Burkina Faso, Burundi, Zimbabwe, Rwanda dan Kenya pun telah melaksanakan GST.

AKAN MENYUSUL

No comments:

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive